SCNJ

Halaman

Jumaat, 28 Oktober 2011

Hari Raya Korban a.k.a Hari Raya AidilAdha


~SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA~

Hari Raya AidilAdha biasanya akan diraikan bermula pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah pada setiap tahun. Seluruh umat islam di segenap pelusuk dunia akan meraikannya. Namun tidak dinafikan, sambutan AidilAdha kurang meriahnya berbanding dengan AidilFitri... Ye ke? Kenapa? Tak tau la apa alasan, tapi keduanya adalah hari kejayaan umat-umat Islam. Namun begitu ada juga yang meraikan selama sebulan tak kurang meriahnya seperti AidilFitri.. Alhamdulilah.

Masih ingat lagi tak sejarah disebalik Hari Raya Korban? Mari kita sama-sama putarkan kembali ingatan tentang sejarah Nabi Ibrahim a.s dan puteranya Ismail a.s.

Kisahnya bermula ketika Nabi Ibrahim a.s mendapat wahyu untuk menyembelih putera kesayangannya melalui mimpi. Seperti yang kita maklum, mimpi seorang Nabi adalah merupakan Wahyu dari Allah. Sungguhpun perintah itu sangat berat, namun demi cinta dan taatnya kepada Allah, Nabi Ibrahim berangkat pulang menemui satu-satunya putera kesayangan beliau di Makkah lalu menyampaikan perintah yang di wahyukan Allah kepadanya.

Setelah mendengar khabar tersebut, Ismail yang teguh imannya dan juga merupakan seorang anak yang taat kepada Allah dan kedua orangtuanya pun meminta agar ayahnya melaksanakan perintah itu dengan berpesan agar dia diikat teguh supaya tidak bergerak dan mempersulitkan ayahnya menjalankan perintah tersebut. Ismail juga menanggalkan semua pakaian yang dipakainya agar tiadalah setitikpun darahnya menitis pada pakaian itu kerana takut akan berkuranglah pahalanya juga untuk mengelak kesedihan ibunya dari berpanjangan lalu dia meminta ayahnya memberikan pakaiannya itu kepada ibunya sebagai tanda mata dan kenang-kenangan ibunya terhadapnya.

Tiba saatnya Ismail pun diikat dan dibaringkan terlentang sedia untuk disembelih dengan parang tajam yang telah disediakan atas permintaan Ismail agar tiadalah derita dan kepedihannya berpanjangan. Namun begitu parang itu sedikitpun tidak lut di kulit Ismail, lalu beliau meminta agar ayahnya menelangkupkan sahaja badannya supaya ayahnya tidak melihat wajahnya dan menyembelih lehernya dari belakang. Tetapi tetap sahaja parang tajam itu tidak melukakan kulit Ismail kerana semua itu hanya ujian dari Allah kepada mereka untuk melihat sejauh mana cinta mereka kepadaNya.

Allah pun berfirman dalam wahyunya ketika Nabi Ibrahim sedang kebingungan lantaran kegagalannya untuk menyembelih puteranya sesuai wahyu yang diterima melalui mimpi, "Wahai Ibrahim, engkau telah berjaya melaksanakan mimpimu, demikianlah kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikan". Beliau juga diperintahkan untuk menyembelih seekor kambing yang telah tersedia disisi sebagai ganti nyawa Ismail yang taat menurut perintahNya. Sesegera itulah juga Nabi Ibrahim menyembelih kambing tersebut menggunakan parang yang sama... 

Firman Allah;
"maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkqurbanlah"  (Al-Kautsar: 2)

"dan kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin di Mekkah itu) sebahagian dari Syi'ar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur" (Al-Hajj: 36)

Korban bermaksud haiwan yang disembelih kerana ibadah pada Hari Raya AidilAdha 10 Dzulhijjah dan hari-hari Tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Dzulhijjan dengan tujuan untuk mendampingkan diri kepada Allah. (Syeikh Daud Al-Fathoni, Furu' Al-Masail, Juz 1: 259)

HIKMAH QURBAN / KORBAN:
1. Dikurniakan kebajikan (hasanah) sebanyak bulu binatang yang dikorbankan.
2. Titisan darah yang pertama adalah pengampun bagi dosa-dosa yang lalu.
3. Jika darah korban tumpah ke bumi, maka ia akan mengambil tempat mulia disisi Allah.



~Sinar Cinta NJ~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA TINGGALKAN PESANAN;